PENYELEWENGAN AKIDAH WABAK PALING DASYAT...  

Posted by: tinta amirah

Kebelakangan ini, kita sering mendengar pelbagai isu mengenai penyelewengan akidah terutama isu ajaran sesat yang seakan tidak terkawal kewujudannnya. Perkara tersebut terjadi kebanyakkannya berpunca daripada kelemahan dan kepincangan akidah dalam diri muslim itu sendiri. Apa yang menyedihkan kini, perkara tersebut semakin berleluasa dan perbuatan ini lebih cenderung terjadi dalam kalangan orang yang lebih arif dalam bidang agama. Mereka tidak berasa gentar dan menjadi semakin berani bukan sahaja dari segi melanggar hukum dan ketetapan Allah, tetapi juga mampu menarik ramai pengikut ke arah kesesatan seperti mereka.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa fenomena ajaran sesat ini umpama tradisi yang diwarisi sejak zaman awal peradaban Islam. Jelas sekali indikasi ajaran sesat berbeza dengan prinsip Ahli Sunnah dan Jama’ah. Isu ini lebih bersifat subjektif dan memerlukan penjelasan yang terperinci. Timbulnya ajaran sesat di dalam masyarakat Islam di Malaysia bukan satu perkara baru tetapi adakalanya ia menjadi kerumitan bagi pihak yang terlibat untuk mengklasifikasikannya kerana ada antara ajaran sesat yang bercampur aduk antara benar dan sesat.

Walaubagaimanapun, kemunculan ajaran sesat ini diambil perhatian  yang serius setelah berlaku peristiwa yang menumpahkan darah iaitu penyerangan kumpulan ajaran sesat yang bertopengkan “Tarikat Nurul Zaman” keatas balai polis Batu Pahat Johor pada hari Khamis 16 Oktober, 1980 yang telah meragut 6 orang dari kumpulan penyerang dan mencederakan 23 orang awam. 

Sebahagian isu ajaran sesat ini melibatkan umat Islam dan sebahagiannya lagi melibatkan golongan bukan Islam. Mereka mula mengkaji serba sedikit mengenai Islam dan cuba memanipulasikan serta mengubahsuai perkara yang terkandung dalam Islam. Perkara seumpama ini menyebabkan ramai umat Islam yang masih teguh pegangannya marah  dan berasa terhina.

Memandangkan isu ajaran sesat ini melibatkan maruah Islam dan umatnya, maka pemahaman yang mendalam, modus operandi dalam menghindari dan menyusun atur langkah proaktif bagi membendung penularannya merupakan satu keutamaan. Hal demikian penting bagi  mempertahankan serta memperjuangkan kesucian Islam agar terus terpelihara buat selamanya.

Contoh ajaran sesat yang pernah ditentang secara serius dari pelbagai pihak ialah ajaran ‘kerajaan langit’ yang dipimpin oleh Ariffin Muhammad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin dan ajaran Abdul Kahar bin Ahmad yang mengaku dirinya sebagai rasul orang Melayu. Satu lagi ajaran yang menjadi tarikan ramai pengikutnya terutama remaja ialah ‘Black Metal’. Banyak lagi contoh ajaran sesat lain yang telah di wartakakan oleh pihak Majlis  Agama Islam Malaysia antaranya ialah Nasrul Haq, ajaran Hassan anak rimau, Al- Arqam, ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Nuh) dan banyak lagi.

Kebanyakan daripada pemimpin- pemimpin ajaran sesat ini telah di tahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah. Namun demikian, masih terdapat  pemimpin  ajaran sesat terbabit yang berjaya melepaskan diri dan masih bergiat secara sembunyi dan menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menarik orang ramai menjadi penganut dalam ajaran mereka. Seperti yang dilaporkan media pada 22 Mac baru-baru ini, Ketua kumpulan ajaran sesat ‘kerajaan langit’, Ayah Pin yang menyepikan diri sejak sekian lama, kini muncul kembali cuba menyebarkan ajarannya dengan kaedah lebih canggih menggunakan laman sosial Facebook.

Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhammad 85, yang mendakwa dirinya wakil kerajaan langit dikesan mempunyai akaun Facebook sendiri baru-baru ini dan dipercayai akan meneruskan dakyah sesatnya di laman web sosial itu. Ayah Pin, sebelum ini dikatakan uzur dan tahun lalu dipercayai sudah kembali semula ke pengkalannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu selepas menghilangkan diri sejak hampir empat tahun lalu apabila penempatannya dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Hal ini telah menjadi kebimbangan banyak pihak termasuk Kementerian Kerajaan Malaysia. Perkara ini akan terus dibendung oleh pihak bertanggungjawab kerana ianya mungkin akan menjadi barah dalam masyarakat kita. Walaupun ramai yang telah menyedari kesesatan ajaran yang dibawa mereka, namun masih ada yang tidak mahu menggunakan akal dan fikiran yang rasional dalam menilai ajaran sesat terbabit.

            Menurut sumber berita lagi, mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan akan menyiasat laporan mengenai kewujudan laman web sosial Facebook yang dimiliki Ayah Pin. Beliau berkata, siasatan dan pemantauan itu nanti akan membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jamil Khir berkata, Jabatan Perdana Menteri akan menjalinkan kerjasama dengan agensi komunikasi dan multimedia yang lain bagi memantau aktiviti ajaran yang disebarkan melalui internet dari semasa ke semasa.

Meskipun usaha kerajaan dalam membanteras kes-kes ajaran sesat yang tumbuh bagai cendawan dalam negara ini, namun masih juga terdapat beberapa individu yang berani menentang bahkan berlagak pandai bagi mempertahankan ajaran sesat yang dibawa mereka. Ada juga yang berani bukan sahaja menentang pihak mahkamah, tetapi juga berdebat dengan mufti yng lebih luas ilmu pengetahuannya berbanding mereka.

Seperti yang telah dialkukan oleh pemimpin ajaran sesat Abdul Kahar Bin Ahmad yang bertegas mendakwa dirinya rasul orang Melayu. Dipetik dari kosmo, Abdul Kahar yang menetap di Kampung Kemensah, Ampang, dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 17 Ogos 2005 kerana mengisytiharkan dirinya nabi Melayu, menyebarkan ajaran sesat, menghina dan melanggar ajaran agama Islam serta menentang fatwa dan Mufti.
Kelantangan Abdul Kahar bersuara akhirnya telah mengheret dia ke muka pengadilan. Keputusan telah diputuskan oleh empat orang hakim di atas lima pertuduhan iaitu menjelaskan doktrin palsu, mengisytiharkan dirinya sendiri adalah rasul bagi orang melayu, menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengetepikan arahan mufti atas perkara yang telah difatwakan sebagai menyeleweng dan mempersendakan ajaran Islam yang sebenar.
Satu lagi ajaran sesat yang berjaya menarik ramai pengikutnya ialah ‘black metal’. Kebanyakan pengikut dalam ajaran ini adalah terdiri dalam kalangan remaja. Ajaran ini berasal daripada barat dan ianya lebih kepada unsur muzik yang menjadi daya penarik remaja untuk cenderung ke arah kesesatan. Aliran muzik yang terkandung dalam muzik black metal ini kebanyakannya lebih menjurus kepada rentak yang ganas, ekstrim dan jelas menjurus kepada pemujaan syaitan serta anti agama.

Menurut kajian, Di Malaysia, kumpulan ini dianggotai oleh 100% remaja dan belia Melayu beragama Islam dengan takrifan black metal sebagai fahaman yang cuba dikembangkan oleh golongan-golongan tertentu kepada masyarakat melalui alunan muzik yang berlirikkan pemujaan syaitan, anti-ketuhanan, kekejaman, seks bebas dan seumpamanya.

Seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 7 Januari 2010, segelintir pengikut taksub fahaman black metal di Kuala Lumpur percaya zikir syaitan serta amalan khurafat yang dilakukan berhubung kait dengan ‘hari kebangkitan syaitan’ (Dajal) yang didakwa akan menguasai dunia. Kepercayaan terhadap hari kebangkitan syaitan itu jelas berjaya meresapi segelintir remaja yang terlalu mentah dan menerima konsep terbabit.

Salah seorang remaja hanya mahu dikenali sebagai Wan, 17, berkata, kebanyakan lirik lagu black metal yang didengarnya sebelum ini mengagungkan kewujudan syaitan yang dianggap lebih berkuasa. Menurutnya, beberapa kumpulan Black Metal tempatan seperti Annamolly, Nothing Uderneath, Samael & Abraham dan beberapa kumpulan lain kerap menggunakan lirik ‘keras’ bertentangan dengan akidah.
Bagi remaja yang benar-benar jelas mengenai makna yang terkandung dalam muzik ini mungkin kurang cenderung dalam masalah ini. Namun, bagi remaja yang kurang memahaminya, ianya akan menyebabkan mereka merasakan muzik ini sangat terhibur dan secara automatik mereka akan tertarik dengan rentaknya. Malah, remaja yang cetek dari segi pengetahuan agamanya akan terus taksub dalam ajaran sesat yang disuntik secara halus dalam diri mereka.
Persoalan utama yang timbul disini ialah mengapa masih ada umat Islam yang keliru antara ajaran Islam dan ajaran sesat ?. Tidak lain jawapannya ialah kerana mereka merasa terkongkong dengan pantang larang Allah SWT dan terlalu mengikut kehendak hawa nafsu yang jahat supaya segala hajatnya diperolehi dengan jalan yang lebih mudah. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Fatihah, maksudnya: “Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat”. (Surah al-Fatihah:7)
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah menjelaskan secara terang tentang ciri-ciri orang yang sesat itu ialah mereka yang tidak betul kepercayaannya atau amal ibadahnya dan rosak akhlaknya. Ini bermakna sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam akan didakwanya sebagai ajaran Islam, tetapi berlawanan dengan akidah dan syariah Islam, maka ianya adalah dihukumkan sebagai sesat.
Masalah ajaran sesat ini mampu mempengaruhi banyak perkara. Antaranya keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka. Contohnya baru-baru ini, seorang lelaki berusia 35 tahun yang terpaksa menceraikan isterinya yang telah taksub dengan kepercayaan karut yang dibawa seorang laki dan seorang wanita yang dipanggil ‘wanita suci’.
Selain itu, perpaduan juga boleh tergugat. Sikap fanetik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling. Hal ini dapat menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat sekaligus memberi kesan nama negara akibat persengketaan sesame sendiri. Akibatnya, negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.
Tuntasnya, mungkin sukar untuk kita membendung perkara ini daripada terus terjadi. Walaupun demikian, sebagai warga yang bertanggungjawab dan sebagai umat yang sentiasa peka serta berpegang kuat dalam memelihara kesucian agama Islam, kita seharusnya berusaha untuk menarik mereka yang telah semakin hanyut dalam kesesatan. Kerjasama dari semua pihak dalam mengatasi masalah akidah ini akan serba sedikit dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi tsunami yang melanda diri umat Islam kita pada hari ini.
Satu-satunya perkara yang dapat menjadi benteng pertahanan paling kukuh bagi mengelak masalah ini adalah seperti dalam sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya: “Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya, maka kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnahku”.

This entry was posted on Tuesday, March 30, 2010 . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini